Sidang media Rafizi ‘separuh masak’ – Puad Zarkashi
KUALA LUMPUR – Sidang media yang diadakan oleh bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini disifatkan sebagai tindakan ‘separuh masak’ dan hanya bertujuan menunjuk-nunjuk, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, jika tindakan Rafizi itu mahu memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau dianggap berjaya susulan mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan Ahli Parlimen PKR.
Menurut Puad, isu yang diketengahkan oleh Rafizi berkenaan pelantikan hakim dan peranan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) sememangnya penting, namun tidak menyeluruh.
“Isu ini penting, tetapi separuh masak. Sepatutnya Rafizi dahulukan mana yang patut.
Pada 11 Januari 2023, Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku memoir Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice In the Wilderness
“Dalam buku itu, disebut mengenai penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tommy Thomas dalam pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Puad menambah, Rafizi sendiri merupakan anggota Kabinet ketika keputusan menubuhkan RCI itu dibuat dan seharusnya menyedari bahawa isu JAC telah bermula sejak era pentadbiran Pakatan Harapan 1.0.
Dalam sidang media hari ini, Rafizi yang baru meletak jawatan Menteri Ekonomi baru-baru ini memaklumkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dicadangkan untuk ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berhubung kemelut dalam institusi kehakiman negara ketika ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, terdapat laporan bahawa pencalonan pelantikan hakim yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan.
Rafizi berkata demikian ketika membacakan kenyataan bersama yang disokong oleh sembilan wakil rakyat PKR termasuk bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang Jaya hari ini.
Hadir sama dalam sidang media, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Baca juga : Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kemelut institusi kehakiman negara
Baca juga : PM perlu segera perjelas isu pelantikan hakim – Rafizi
Mengulas lanjut, Puad berkata, sekiranya kempen kutipan tandatangan dan jelajah berkenaan pelantikan hakim itu berjaya, ia akan menimbulkan masalah besar kepada Perdana Menteri.
“Kalau kempen kutip tandatangan dan jelajah berkenaan pelantikan hakim ini berjaya, ia boleh membawa masalah besar kepada PMX (Perdana Menteri). Ketika itu, Rafizi boleh kata ‘kamu rugi buang aku’,” tegasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








