Saman sivil Tuan Ibrahim terhadap Rafizi diselesaikan luar mahkamah
KUALA LUMPUR – Pertikaian undang-undang antara Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berhubung saman sivil yang difailkan pada 2022 berakhir dengan penyelesaian secara baik di luar mahkamah.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa sebarang perselisihan atau salah faham wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat dan kestabilan politik negara.
“Pihak-pihak dengan ini ingin memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan secara baik di luar mahkamah,” jelas kenyataan bersama itu, hari ini.
Saman berkenaan difailkan oleh Tuan Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November 2022 susulan kenyataan media Rafizi yang ketika itu membangkitkan persoalan mengenai fungsi serta peranan seorang menteri dalam tempoh kerajaan caretaker selepas pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15.
Antara isu yang diketengahkan Rafizi ialah dakwaan berhubung usaha penganugerahan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika Tuan Ibrahim menerajui kementerian berkenaan.
Rafizi menjelaskan kenyataan yang dibuat ketika itu adalah berdasarkan maklumat serta dokumen diperoleh daripada sumber dipercayai.
Namun, bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat dan demi menutup ruang salah tafsir terhadap Tuan Ibrahim, beliau bersetuju untuk menurunkan semua hantaran media sosial berkaitan isu berkenaan.
Memandangkan keterlibatan Tuan Ibrahim dalam isu penganugerahan projek terbabit bukanlah tumpuan utama kenyataan media Rafizi sebelum ini, maka perkara tersebut tidak lagi berbangkit antara kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim juga bersetuju untuk menarik balik saman sivil yang difailkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








