Penangguhan pencalonan tiada kaitan dengan ‘cuti’ Rafizi – Dr Zaliha
KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menolak spekulasi kononnya ‘percutian’ Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai kaitan dengan penangguhan pencalonan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang sepatutnya berlangsung minggu ini.
“Sudah tentu tiada kaitan dengan Rafizi.
“Sebagaimana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata, cuti itu adalah biasa,” katanya ringkas.
Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Mampu Milik dan Pengumuman Inisiatif Pemerkasaan Pendidikan untuk Komuniti B40, di sini hari ini.
Jelas beliau, keputusan penangguhan itu dibuat jawatankuasa pusat dan ia diterima baik semua ahli.
Semalam, Zaliha mengumumkan pencalonan untuk pemilihan MPP parti itu ditangguh dari 3 dan 4 Mei kepada 8 dan 9 Mei tanpa memberikan sebarang sebab.
Berkenaan proses audit keputusan Cabang PKR, Dr Zaliha berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan juruaudit bebas yang dilantik untuk meneliti semua proses pelaksanaan pemilihan.
“Kita sebenarnya telah bertemu mereka sepanjang dua hingga tiga hari lepas untuk melihat semua proses itu.
“Kita telah serah apa sahaja yang mereka mahu. Insya Allah dalam beberapa hari kita akan mendapat laporan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








