BERITA SEMASAPOLITIK

Rafizi, Nik Nazmi umum keluar PKR masuk BERSAMA, kosongkan kerusi Parlimen bermula esok

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai parti baharu dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

Dalam pengumuman bersama, kedua-dua pemimpin itu turut memaklumkan parti itu akan bertanding dalam siri pilihan raya akan datang termasuk di kerusi yang kini disandang oleh parti-parti kerajaan dan pembangkang.

Menurut Rafizi, parti berkenaan bukan ditubuhkan oleh tokoh politik terkenal sebaliknya lahir daripada gerakan rakyat biasa dari kampung dan bandar yang mahu melihat budaya politik lebih baik di negara ini.

“Platform ini ditubuhkan oleh sekumpulan orang-orang biasa di kampung dan bandar yang kita tak pernah tahu pun.

“Hasrat kami ialah menawarkan satu platform politik kepada rakyat yang berfikiran seperti kami, yang yakin bahawa kuasa politik itu adalah milik rakyat, bukan milik ahli politik.

“Kita juga mahu menghidupkan budaya politik muhibah yang menghargai setiap rakyat Malaysia dan mahu membina masa depan generasi baru secara bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Baru Bersama Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pandan itu di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), di sini hari ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, parti itu sebenarnya sudah wujud sejak 2016 dan kini bersedia bergerak lebih aktif sebagai platform politik alternatif untuk rakyat.

“Insya Allah, di mana-mana yang kami rasakan ada keperluan, BERSAMA akan menawarkan diri untuk bertanding dalam siri pilihanraya yang akan datang.

“Tidak kira kerusi itu sekarang kerusi PKR, DAP, AMANAH, UMNO, PAS, BERSATU. Kalau ada keperluan kita akan lawan,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

BACA JUGA:

Rafizi, Nik Nazmi ambil alih parti MU

Menurut beliau, BERSAMA mahu membawa budaya politik yang lebih baik dengan mengetengahkan calon muda dan berpengalaman.

“Bermula saat ini, saya mewakili BERSAMA menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mula mendaftar menjadi ahli,” katanya sambil memaklumkan pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang rasmi parti.

Dalam pengumuman sama, Rafizi berkata, beliau akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan berkuat kuasa esok dan akan menulis secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya bernama Muhammad Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, dengan ini mengumumkan saya akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan berkuat kuasa esok,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi turut mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen Setiawangsa selain keluar daripada PKR berkuat kuasa Selasa, 19 Mei 2026.

“Saya akan menulis secara rasmi kepada Setiausaha Agung PKR (Fuziah Saleh) pada hari Selasa bagi memaklumkan keputusan ini,” katanya.

Kedua-dua mereka mengakui gerakan baharu itu bukanlah sempurna, namun percaya amanah untuk membawa perubahan politik perlu diteruskan demi rakyat.

“Sama ada BERSAMA menang atau kalah, itu tidak pasti. Tetapi bila ada BERSAMA, parti-parti yang ada kena bekerja lebih kuat kerana pemenang sebenar adalah rakyat terbanyak,” kata Rafizi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button