
Pendaftaran, kemas kini PADU berakhir hari ini
KUALA LUMPUR – Pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan berakhir pada hari ini.
Orang ramai yang belum mengemaskini maklumat mereka masih boleh berbuat demikian menerusi laman sesawang https://www.padu.gov.my/ atau di kaunter PADU berdekatan.
Pada 23 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem PADU yang akan berakhir hari ini.
Semalam, Rafizi berkata, jumlah individu yang mengemaskini maklumat PADU meningkat secara mendadak menjelang tarikh akhir pendaftaran hari ini.
Kata beliau, setakat jam 11.59 malam semalam, lebih 9.8 juta rakyat di negara ini berjaya mengemaskini maklumat mereka di PADU.
“Kadar pendaftaran dan pengemaskinian PADU naik mendadak sejak dua hari lepas. Mungkin makin ramai sedar dan risau akan keciciran.
“Belum terlambat lagi untuk daftar. Layari https://www.padu.gov.my/ atau pergi ke kaunter PADU berhampiran kawasan anda,” katanya semalam.
Pada 2 Januari lalu, PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.
Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan yang dipacu data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







