BERITA SEMASA

Ketua Audit Negara didesak siasat projek mesin layan diri nasi lemak Rafizi

KUALA LUMPUR – Ketua Audit Negara didesak menyiasat status projek mesin layan diri nasi lemak yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, siasatan berkenaan penting bagi memastikan projek tersebut masih berfungsi dengan baik, tidak melibatkan pembaziran serta bebas daripada unsur ketirisan termasuk kemungkinan berlaku ‘mark up’ dalam pembelian mesin.

“Saya mendesak Ketua Audit Negara (KAN) menyiasat status projek tersebut.
“Apakah ia masih berkesan, tidak membazir dan tiada ‘mark up’ pembelian mesin layan diri itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Menurut beliau, projek berkenaan tidak boleh dibiarkan tanpa penilaian menyeluruh memandangkan ia melibatkan kepentingan rakyat serta nilai peruntukan yang besar.

Dalam pada itu, beliau turut membandingkan projek tersebut dengan inisiatif MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia yang didakwa menelan kos tinggi namun kurang dimanfaatkan apabila terdapat kiosk tidak digunakan.

“Jangan jadi seperti projek MyKiosk. Harga satu kiosk RM25,000 tetapi banyak yang kosong,” katanya lagi.

Untuk rekod, projek mesin layan diri itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INSAN) yang dilancarkan pada 26 Februari 2023 bagi membantu golongan B40 menjana pendapatan tambahan.

Sebanyak 100 mesin pertama dilaporkan mula beroperasi pada Jun tahun sama dengan menawarkan jualan nasi lemak dan makanan lain.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan sebelum itu turut mengkritik projek bernilai RM750 juta tersebut dalam Konvensyen PKR Johor, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya.

Puad berkata, kritikan terbuka oleh seorang anggota Kabinet di hadapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menunjukkan isu berkenaan perlu diberi perhatian serius.

“Apabila seorang menteri sendiri mengkritik, sudah tentu ada perkara yang perlu diperjelaskan. Justeru, siasatan audit perlu disegerakan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelaksanaan projek kerajaan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button