Kadar tambang KLIA Ekspres, KLIA Transit dinaikkan mulai 1 Januari 2027
CYBERJAYA – Kadar tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit bagi perjalanan sehala untuk penumpang dewasa antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan naik RM10 mulai 1 Jan 2027.
Kenaikan itu menjadikan harga baharu tambang kepada RM65 untuk laluan sehala antara KL Sentral dan KLIA, berbanding RM55 ketika ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), Noormah Mohd Noor, kadar bagi sektor lain turut akan diselaraskan.
Beliau memberitahu, pelarasan berkenaan dibuat 11 tahun selepas kenaikan tambang terakhir pada 2016 susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyelenggaraan selain mengikut perjanjian konsesinya dengan kerajaan.
Pelarasan itu turut mengambil kira kos mengendalikan dan menyelenggara selain memastikan perkhidmatan itu dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi dan melabur dalam penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya.
Beliau berkata ERL kekal komited menyediakan hubungan terpantas dan boleh dipercayai antara KL Sentral dan KLIA.
Pada masa sama, ERL sedang bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk menawarkan potongan harga tiket eksklusif sehingga 30 peratus mulai Januari tahun depan.
Bagaimanapun, butiran mengenai tawaran diskaun itu hanya akan diumumkan selepas urusan berkaitan dimuktamadkan.
ERL yang mula beroperasi 24 tahun lalu mengendalikan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit antara pusat bandar dan KLIA Terminal 1 serta Terminal 2.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








