Rapid Rail panjangkan waktu perkhidmatan sepanjang Ramadan
KUALA LUMPUR – Tempoh perkhidmatan rel di bawah kendalian Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan dipanjangkan pada waktu puncak sepanjang bulan Ramadan ini bagi menampung perubahan corak perjalanan penumpang yang pulang lebih awal untuk persediaan berbuka puasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelarasan itu melibatkan lanjutan waktu puncak pagi bermula 6.30 hingga 9.30 pagi berbanding 7 hingga 9.30 pagi pada bulan biasa, manakala waktu puncak petang dipanjangkan dari 4 petang hingga 8 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 malam.
“Langkah ini bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi khususnya dalam mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang bertanya sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), akan diubah sempena bulan Ramadan berikutan perubahan pola pergerakan penumpang.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pihak Rapid Rail sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang gangguan perkhidmatan sepanjang Ramadan, malah langkah berkenaan dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada bulan tersebut sahaja.
“Kita mengamalkan penyelenggaraan ramalan dan pencegahan sekarang iaitu untuk memastikan penyelenggaraan secara berkala kepada sistem kita dan penyelenggaraan kepada tren kita berjalan sepanjang masa untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya gangguan,” katanya menjawan soalan tambahan Syahredzan.
Beliau berkata, walaupun gangguan teknikal sukar diramal, pelbagai langkah mitigasi diambil termasuk penempatan kakitangan teknikal dalam tren serta latihan pengurusan stesen bagi mengawal pergerakan penumpang dan mengurangkan kesesakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








