BERITA SEMASA

Rapid Rail perluas inisiatif koc wanita di LRT laluan Ampang/Sri Petaling mulai 31 Dis

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melaksanakan inisiatif koc wanita di Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling bermula 31 Dis ini.

Menurut Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini, Laluan Ampang/Sri Petaling akan menjadi laluan ketiga di bawah kendaliannya yang memperkenalkan kemudahan ini.

“Inisiatif ini bertujuan memberikan pengalaman perjalanan lebih selesa kepada penumpang wanita, yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengguna perkhidmatan rel Rapid KL.

“Dengan adanya koc wanita, penumpang wanita dijangka dapat menikmati perjalanan lebih tenang tanpa rasa bimbang tentang keselamatan mereka.

“Sejak pengenalan koc wanita di Laluan Kajang, insiden gangguan tidak diingini telah menurun sebanyak 22 peratus sehingga November lalu, manakala Laluan Putrajaya menyaksikan penurunan kes dengan ketara sebanyak 50 peratus sejak pelaksanaannya pada April lalu,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Untuk rekod, inisiatif ini mula dilaksanakan di Laluan Kajang pada 18 Sept 2023, diikuti Laluan Putrajaya pada 8 Apr 2024.

Sehubungan pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak 36 stesen dan 45 tren LRT di Laluan Ampang/Sri Petaling akan dilengkapi pelekat khas berwarna merah jambu untuk memudahkan pengguna mengenal pasti koc wanita, yang ditempatkan di bahagian tengah setiap tren di koc tiga dan koc empat.

“Koc wanita ini terbuka kepada penumpang wanita dari semua peringkat umur, serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ke bawah yang ditemani penjaga wanita.

“Bagi komuniti Orang Kurang Upaya termasuk penjaga, mereka diberikan keutamaan untuk menggunakan mana-mana gerabak tren,” katanya lagi.

Justeru, pengguna LRT digalakkan memanfaatkan sepenuhnya koc wanita, sementara pengguna lain disarankan memberi ruang kepada wanita untuk menggunakan kemudahan tersebut terlebih dahulu.

“Rapid Rail akan terus menggerakkan pasukan polis bantuan untuk melaksanakan pemantauan berkala di dalam tren dan stesen bagi memastikan etika penggunaan koc wanita dipatuhi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button