Suri rumah tulang belakang keluarga, dipandang tinggi di sisi Tuhan
KUALA LUMPUR – “Tidak semua pengorbanan perlu diumumkan. Dan bukan semua yang duduk di rumah itu ‘tidak ke mana’.”
Demikian luahan seorang wanita, Ummu Fuqara yang berkongsi kisah peribadi tentang pengorbanan seorang suri rumah sebagai tulang belakang keluarga.

Melalui satu hantaran di Facebook, beliau mengimbau kenangan membesar dalam asuhan ibunya yang menguruskan 13 orang anak tanpa bantuan pembantu rumah.
“Hingga hari ini, beliau masih setia sebagai suri rumah sepenuh masa, membesarkan anak-anak dengan tangan sendiri, tanpa rehat sebenar,” tulisnya.
Dalam perkongsian tersebut, Ummu Fuqara turut menyentuh perbezaan budaya di Jepun yang menggunakan istilah sotsugyō shufu iaitu suri rumah yang ‘bergraduasi’ apabila anak-anak membesar, lalu kembali bekerja atau membina kehidupan baharu di luar rumah.
Namun bagi ibu dan kakak-kakaknya, yang rata-ratanya berpendidikan tinggi termasuk bergelar doktor falsafah (PhD), mereka memilih untuk kekal di rumah, membina ‘kerajaan kecil’ dari dalam rumah.
“Sekarang saya faham, mereka sebenarnya sedang membawa dunia ke suatu arah iaitu satu anak, satu nilai dan satu generasi pada satu masa,” kongsinya.
Mengaitkan kisah perjuangan para ibu dengan sejarah Islam, Ummu Fuqara mengingatkan umat tentang Sayyidah Fatimah Az-Zahra’ RA iaitu puteri Rasulullah SAW yang juga seorang suri rumah.

“Beliau menggiling tepung hingga tangan melecet, memasak dalam rumah berasap dan menunggu suami pulang dari medan perang,” tulisnya.
Malah, ketika Fatimah meminta pembantu rumah, Rasulullah SAW hanya mengajarkan zikir penenang jiwa iaitu Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah (33 kali) dan Allahuakbar (34 kali).
“Kerana letih fizikal boleh reda dengan rehat, tetapi letih jiwa memerlukan cahaya dari langit,” katanya lagi.
Ummu Fuqara turut menitipkan pesanan buat para wanita agar tidak merasa rendah diri dengan pilihan masing-masing, sama ada suri rumah atau ibu bekerjaya.
“Kalau hari ini tiada siapa bertanya ‘penat tak?’, kalau dunia memandang rendah pada pilihanmu maka ketahuilah, Allah sedang melihat tinggi,” ujarnya.
Pesanan itu turut disokong melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.”
(Surah At-Taubah, 9:120)
Beliau menutup catatannya dengan mengingatkan bahawa Allah tidak pernah meminggirkan suri rumah, kerana puteri Nabi SAW sendiri adalah salah seorang daripada mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















