JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditahan selepas serang, ugut penguatkuasa PBT

IPOH – Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyerang dan mengugut seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang menjalankan tugas mengeluarkan notis kompaun di Jalan Pengkalan Barat 35, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 12.40 tengah hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif apabila cuba melanggar anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan menggunakan sebuah kenderaan sebelum mengekori mangsa.

“Suspek kemudian menarik bahagian leher baju mangsa serta mengeluarkan ugutan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan selepas kejadian tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Katanya, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek bagi membolehkan siasatan dilengkapkan.

Dalam pada itu, Muhammad Najib menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghalang, menyerang atau mengugut penjawat awam ketika mereka melaksanakan tugas, malah tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button