BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pembantu kantin didenda RM2,000 simpan bahan lucah

BACHOK – Seorang pembantu kantin didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan kira-kira 100 bahan pornografi termasuk video lucah dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh, Siti Munirah Muhamad, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati memiliki telefon bimbit jenis Realme 9 yang mengandungi rakaman video lucah di sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga pada pukul 8 malam, 6 April lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, menurut laporan Sinar Harian hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon hukuman denda dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang berpendapatan RM35 sehari serta menanggung seorang anak perempuan berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan dalam Op Cyber Guardian selepas polis menyerbu rumahnya sebelum menemui kira-kira 100 bahan lucah dalam telefon bimbit berkenaan, yang kemudian disahkan melalui laporan forensik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button