Miliki lebih 8,000 bahan pornografi, pemuda dipenjara 6 bulan
SEREMBAN – Seorang pemuda dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah memiliki lebih 8,000 bahan pornografi termasuk yang melibatkan penganiayaan seksual kanak-kanak di dalam telefon bimbit dan peranti elektronik miliknya.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Amirul Syafiq Rahmat, 22, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di mahkamah, memetik laporan Kosmo! Online.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 6 April lalu, selain mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan selama setahun selepas tamat tempoh pemenjaraan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu gerai roti canai didapati memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video dan gambar lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya.
Kesalahan itu dikesan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pajam, Nilai pada 6 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman minimum dengan alasan hanya membantu bapanya berniaga roti canai serta kini tinggal bersama ibu dan kakaknya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes bahawa pemeriksaan terhadap semua peranti elektronik yang dirampas menemukan sebanyak 8,129 bahan pornografi yang disyaki melibatkan kandungan dewasa dan kanak-kanak.
Pendakwaan turut memohon agar mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selepas selesai menjalani hukuman penjara, selaras dengan usaha pemulihan dan pencegahan kesalahan berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






