JENAYAH & MAHKAMAH

Hukuman sebat pesalah khalwat Jumaat ini tidak dilakukan secara terbuka

KUALA TERENGGANU – Proses hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah, yang akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini Jumaat ini, tidak akan dilakukan secara terbuka.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, hanya 70 individu akan dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat itu dijalankan.

Sehubungan itu, katanya, jemaah yang hadir di masjid berkenaan dinasihatkan beredar segera setelah selesai menunaikan solat Jumaat pada hari itu.

“Hukuman ke atas tertuduh sudahpun diputuskan, biarlah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tugas,” katanya, hari ini.

Tambahnya, kira-kira 40 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di masjid berkenaan bagi mengawal keselamatan serta kelancaran pelaksanaan hukuman itu nanti.

Tambahnya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi terhadap petugas mahupun tertuduh pada hari berkenaan.

“Orang ramai tidak perlu berkumpul sehingga menyebabkan berlaku kesesakan di pekarangan masjid itu.

“Sebarang rakaman adalah tidak dibenarkan. Pihak polis akan membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi dibawa masuk ke ruangan tempat hukuman itu dilaksanakan.

“Saya memohon semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu akan menjalani hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana melakukan kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman sebatan ke atas tertuduh sepatutnya dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button