JENAYAH & MAHKAMAH

Salah guna MyKad orang lain untuk subsidi diesel, pekerja stesen minyak dihukum penjara, sebat

LAHAD DATU – Seorang pekerja stesen minyak dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan nombor MyKad milik orang lain bagi mendapatkan subsidi BUDI MADANI Diesel.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, lelaki itu ditahan bersama-sama dua rakan sekerjanya, termasuk seorang wanita Jumaat lalu, namun kedua-dua mereka dijadikan saksi pendakwaan, lapor BERNAMA.

“Polis menerima aduan daripada seorang mangsa yang mendapati kuota subsidi BUDI MADANI Diesel miliknya digunakan sebanyak empat kali membabitkan 43.01 liter tanpa pengetahuannya.

“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati modus operandi suspek adalah apabila pelanggan datang mengisi bahan api menggunakan MyKad untuk bantuan subsidi, suspek akan mencatat nombor MyKad pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulbaharin menambah, suspek kemudian menggunakan kata laluan penyelia untuk memasukkan nombor MyKad berkenaan tanpa kad fizikal ke dalam mesin sistem BUDI MADANI Diesel sebelum subsidi itu digunakan untuk pembelian bahan api oleh pelanggan yang tidak layak menerimanya.

“Suspek akan memasukkan nombor MyKad orang lain dengan harga subsidi dan mengaut keuntungan secara salah,” katanya.

Dzulbaharin menasihati orang ramai supaya berwaspada ketika menyerahkan MyKad bagi urusan pembelian bahan api dan segera membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat tentang penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button