Penuntut IPT berdepan hukuman gantung, miliki 1.08kg ganja
PADAWAN – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berusia 18 tahun berdepan hukuman gantung selepas ditahan memiliki 1.08 kilogram (kg) ganja di Batu Kawa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Superintenden Barry William berkata, suspek ditahan sepasukan polis di sebuah apartmen berhampiran MJC kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan sebuah beg galas yang mengandungi satu bungkusan plastik putih dipercayai berisi ganja.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,240,” katanya memetik laporan Berita RTM, hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai akan menerima bayaran RM4,000 untuk mengambil bungkusan itu atas arahan seorang individu dikenali sebagai Franky.
Polis turut menyita sebuah kereta mewah dalam operasi berkenaan.
Barry berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







