Cabul 5 wanita di LRT, MRT: Mahkamah Tinggi tambah hukuman, penjara 18 bulan dan satu sebatan
KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas disabitkan kesalahan mencabul lima wanita di kawasan stesen LRT dan MRT sekitar ibu negara.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas menyemak semula hukuman Mahkamah Majistret sebelum ini yang menjatuhkan penjara enam bulan dan denda RM14,500 terhadap tertuduh, Md Romjan Ali, 41.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara berjalan secara global bermula tarikh tangkapan pada 27 April lalu.
“Bagi lima kes itu, mahkamah menetapkan satu hukuman secara keseluruhan. Hukuman Mahkamah Majistret diketepikan dan digantikan dengan penjara 18 bulan dari tarikh tangkapan,” kata hakim dalam keputusannya hari ini.
Selain itu, tertuduh turut diperintahkan dikenakan satu sebatan bagi salah satu pertuduhan.
Mengikut fakta kes, perbuatan mencabul itu dilakukan di beberapa lokasi termasuk laluan pejalan kaki Stesen LRT Chan Sow Lin, dalam tren serta kawasan eskalator Stesen MRT Maluri, dan dalam tren dari MRT Taman Midah ke MRT Muzium Negara antara 10 hingga 25 April lalu.
Perbuatan itu dilakukan terhadap seorang wanita warga Jerman dan empat wanita tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun.
Tertuduh sebelum ini mengaku bersalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pihak pendakwaan sebelum itu memohon hukuman lebih berat berbentuk pencegahan, dengan mengambil kira kesalahan dilakukan di tempat awam serta melibatkan mangsa berulang.
Mahkamah turut mempertimbangkan hujah pembelaan yang memohon hukuman penjara serta penghantaran pulang tertuduh ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















