BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lima pesalah syariah jalani hukuman sebat

MARANG – Lima pesalah syariah, termasuk dua pasangan, menjalani keseluruhan 20 sebatan di Mahkamah Penjara Marang di sini, hari ini.

Kesemua pesalah tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.05 pagi dengan menaiki van Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24; Muhammad Syahmi Faris Latif, 24, bersama pasangannya Hafiqah Qurratu Aini Azlan, 22; serta seorang wanita, Nur Habibah Ajis Tanjung, 20.

Muhammad Shazmel dan Tengku Nur Faresha masing-masing menjalani tiga sebatan, manakala Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini masing-masing empat sebatan, sementara Nur Habibah dikenakan enam sebatan.

Menurut Buletin TV3, hukuman dilaksanakan oleh pegawai sebat Penjara Marang di hadapan Pengarah Penjara serta pegawai yang dibenarkan, mengikut prosedur ditetapkan.

Pelaksanaan bermula jam 10.30 pagi dan selesai kira-kira 30 minit kemudian.

Terdahulu, Muhammad Shazmel dan Tengku Nur Faresha dijatuhi hukuman tiga sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu selepas mengaku bersalah atas kesalahan khalwat berulang.

Mahkamah turut mengambil kira rekod kesalahan lampau pasangan itu yang pernah didenda atas kesalahan sama pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, Muhammad Syahmi Faris dan Hafiqah Qurratu Aini dikenakan hukuman selepas disabitkan kesalahan melakukan persediaan bagi persetubuhan luar nikah.

Mereka ditahan oleh penguat kuasa JHEAT dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kenderaan di Marang pada 4 Disember tahun lalu.

Kesemua hukuman dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang syariah negeri serta prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button