‘Glamping with Pride’ dibatalkan – Penganjur
CYBERJAYA – Penganjur program ‘Glamping with Pride’, Jejaka, mengumumkan program tersebut dibatalkan.
Menurut kumpulan yang didakwa pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) itu, pembatalan program berkenaan susulan kebimbangan mengenai isu keselamatan yang turut memaksa pemilik lokasi penginapan di Hulu Langat membatalkan tempahan.
Jejaka berkata, situasi keselamatan berubah secara drastik susulan pelbagai kenyataan dan reaksi pihak tertentu, termasuk amaran tindakan tegas sekiranya program diteruskan dan saranan mufti Wilayah Persekutuan agar program itu dibatalkan.
Menurut kumpulan itu, pihaknya turut menerima ugutan bunuh dan keganasan, termasuk menerusi media sosial, yang akan dirujuk kepada pihak berkuasa.
“Pembatalan ini bukan kerana aktiviti ini menyalahi undang-undang, tetapi kerana keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan ‘fear mongering’ sehingga menjadikan keselamatan nyawa sebagai taruhan.
“Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” kata Jejaka dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu menegaskan, program tersebut bermatlamatkan pendidikan kesihatan awam, termasuk usaha mengurangkan stigma terhadap isu HIV, dan ia bukan aktiviti terbuka kepada umum.
Justeru, mereka menzahirkan kekecewaan terhadap kenyataan beberapa pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang didakwa memburukkan lagi suasana sehingga mendedahkan komuniti minoriti kepada ancaman keselamatan.
“Komuniti LGBTQ+ wujud di seluruh Malaysia – di bandar dan desa, di tempat kerja dan dalam keluarga. Kami bukan ancaman dan kami bukan orang asing. Kami juga rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








