Shafie Apdal hormati keputusan mahkamah, fail rayuan
KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan membenarkan proses perundangan berjalan mengikut saluran susulan prosiding penghinaan mahkamah terhadapnya.
Presiden Parti Warisan itu turut berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
BACA JUGA:
Hina mahkamah isu inkues Zara Qairina: Shafie Apdal dipenjara 5 minggu
“Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya memfailkan rayuan. Saya akan membenarkan proses perundangan berjalan mengikut salurannya.
“Bagaimanapun, tanggungjawab saya kepada rakyat kekal tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara selama lima minggu terhadap Mohd Shafie selepas beliau didapati bersalah menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Hakim Amir Shah Amir Hassan bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim Yahya berkata, keputusan mahkamah itu tidak menjejaskan kedudukan Mohd Shafie sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang dan Ahli Parlimen Semporna.
Menurutnya, seseorang ADUN hanya boleh hilang kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara melebihi 12 bulan atau didenda RM2,000 dan ke atas, melainkan mendapat pengampunan atau berjaya dalam rayuan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















