BERITA SEMASAPOLITIK

Warisan pilih bertanding solo pada PRN17 Sabah

LAHAD DATU – Parti Warisan mengesahkan akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah tanpa sebarang kerjasama dengan mana-mana parti lain.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan Warisan bergabung dengan parti lain, pihaknya lebih selesa bertanding sendiri.

“Kita tidak pernah ada perbincangan atau keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti. Warisan adalah parti berbilang kaum yang mewakili rakyat Sabah dari pelbagai latar belakang,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Mohd Shafie berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Daerah Kecil Tungku, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Semporna itu turut menegaskan keyakinannya bahawa Warisan mampu mengulangi kejayaan parti-parti tempatan seperti Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah menang pilihan raya secara bersendirian pada era 1970-an hingga 1990-an.

Beliau yang juga ADUN Senallang menambah, sekiranya Warisan berjaya membentuk kerajaan selepas PRN17, parti itu bertekad membawa Sabah ke arah pembangunan lebih baik.

Sebelum ini, Warisan dikaitkan dengan UMNO Sabah susulan cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.

Dalam PRN16 pada September 2020, Warisan memenangi 23 kerusi, jumlah tertinggi bagi sebuah parti tunggal, namun selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti, Warisan kini hanya memiliki 14 kerusi, kebanyakannya di pantai timur Sabah.

PRN17 Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa memandangkan tempoh DUN Sabah ke-16 akan tamat pada Oktober ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button