Kerajaan lulus lebih 13,000 jawatan baharu untuk KKM
PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan 13,343 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperkukuh operasi 256 fasiliti kesihatan baharu serta yang telah dinaik taraf di seluruh negara.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kelulusan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion setahun.
Menurut JPA, daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,218 jawatan membabitkan lima skim perkhidmatan utama iaitu 1,197 Pegawai Perubatan, 239 Pegawai Pergigian, 339 Pegawai Farmasi, 3,471 Jururawat dan 1,972 Penolong Pegawai Perubatan.
Katanya, baki 6,125 jawatan lagi melibatkan pelbagai skim perkhidmatan lain bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada rakyat.
“Sejak 2019, JPA telah memperakukan sebanyak 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM bagi memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negara untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, JPA memaklumkan kerajaan turut memperkukuh Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di semua kementerian selaras pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menerusi Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025.
Menurut JPA, langkah itu bertujuan memperkemas penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan 132 inisiatif PuTERA35 melalui penambahbaikan fungsi serta tadbir urus UPB.
“Ia termasuk penjenamaan semula Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) kepada UPB dan meletakkannya di bawah penyeliaan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) atau Timbalan Ketua Setiausaha yang bertanggungjawab terhadap dasar serta perancangan strategik kementerian,” katanya.
JPA berkata, kedua-dua langkah strategik tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh sektor awam melalui penambahbaikan sistem kesihatan negara dan pelaksanaan PuTERA35 yang lebih berkesan.
Katanya, kerajaan akan memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















