INISIATIF KERAJAAN

Hospital Baharu Seremban bakal beri manfaat kepada 700,000 penduduk

SEREMBAN – Isu kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) bakal ditangani menerusi pembinaan Hospital Baharu Seremban yang berkapasiti 500 katil bagi memastikan warga Negeri Sembilan mendapat akses rawatan lebih selesa dan berkualiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyelesaian terhadap isu berkenaan memerlukan tindakan konkrit dan bukan sekadar perbincangan di atas kertas.

Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan adalah hasil perancangan strategik serta usaha berterusan antara Kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah digerakkan sejak 2024.

“Komitmen untuk projek ini turut dizahirkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Julai 2025 lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Baca juga : PRN Negeri Sembilan: Ustaz Alif tawar perkhidmatan kereta percuma ke hospital, Rumah Warga Emas Transit jika dipilih

Beliau berkata demikian selepas meninjau sendiri tapak Hospital Baharu Seremban di Bandar Enstek semalam.

Dzulkefly berkata, hospital pakar moden itu apabila siap kelak dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 700,000 penduduk di sekitar Nilai, Seremban 2, Sendayan, Lenggeng dan Labu.

Katanya, kewujudan hospital baharu itu juga akan membantu meleraikan isu kesesakan di HTJ yang menjadi antara tumpuan utama perkhidmatan kesihatan di negeri berkenaan.

“Bagi memastikan projek ini berjalan pantas dan menjimatkan dana wang awam, KKM kini sedang melaksanakan urusan tukar guna tanah Persekutuan seluas 50 ekar di sini bersama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kita berusaha memaksimumkan aset sedia ada supaya fasa pembinaan boleh dimulakan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah menterjemahkan perancangan berkenaan kepada realiti demi kesejahteraan warga Negeri Sembilan.

“Fokus kita ke hadapan adalah untuk menterjemahkan perancangan ini menjadi satu realiti. Mohon doa anda semua agar urusan kerja awalan ini dipermudahkan demi kesejahteraan warga Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button