Mahkamah Tinggi bebaskan Fathi Na’im daripada tuduhan rogol, amang seksual
KLANG – Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini daripada tiga pertuduhan membabitkan kes rogol dan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, lima tahun lalu.
Hakim Roszianayati Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Fathi Na’im untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Mahkamah Tinggi memutuskan berlaku kekhilafan di peringkat Mahkamah Sesyen apabila permohonan penangguhan prosiding tidak dibenarkan bagi membolehkan perayu mendapatkan khidmat peguam.
Hakim berpendapat keadaan tersebut telah memprejudiskan Fathi Na’im sehingga menyebabkan beliau terpaksa mengendalikan pembelaannya sendiri sepanjang prosiding di mahkamah, memetik laporan Bernama.
Dalam prosiding rayuan itu, Fathi Na’im diwakili peguam Muhammad Fazaly Ali Mohd Ghazali, manakala pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Redza Azhar Rezali.
Sebelum ini, pada 18 September 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Fathi Na’im selepas mendapati beliau gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan berkenaan di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Fathi Na’im didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan rogol terhadap mangsa sama di dalam sebuah kereta di lokasi sama pada jam 3 petang dan 7 malam, masing-masing pada awal Julai dan 27 Julai 2021.
Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















