HIBURAN

Beego, Linda sah bercerai kali ketiga, tiada ruang rujuk kembali

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon, Beego dan Linda Hashim sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini selepas Beego bersetuju melepaskan isterinya itu secara baik.

Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, melafazkan cerai terhadap Linda, 42, di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Radzi Sadiman, sekali gus menjadikan perceraian itu sebagai talak satu kali ketiga antara pasangan berkenaan.

Peguam syarie yang mewakili Beego, Muhammad Akmal Amzan berkata, sebelum lafaz cerai dibuat, mahkamah terlebih dahulu memutuskan permohonan pengesahan lafaz taklik yang difailkan Linda sebelum ini adalah tidak sah.

“Pada asalnya, Linda memfailkan permohonan perceraian dan kemudian turut memfailkan permohonan pengesahan lafaz taklik.

“Hari ini, mahkamah memutuskan dakwaan berhubung lafaz taklik terbabit tidak sah dan kedua-dua pihak masih lagi berstatus suami isteri bagi prosiding berkenaan.

“Bagaimanapun, anak guam saya bersetuju menceraikan Linda secara baik dan Beego telah melafazkan talak satu buat kali ketiga. Ini bukan lafaz talak tiga,” katanya memetik laporan BH Online.

Menurut beliau, perceraian kali ketiga itu menyebabkan kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai ruang untuk rujuk semula mengikut hukum syarak.

cerai
Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata perempuan.

Katanya, prosiding hari ini melibatkan dua perkara iaitu pengesahan lafaz taklik dan permohonan perceraian yang difailkan Linda.

“Mahkamah tidak mensabitkan dakwaan lafaz taklik itu, jadi permohonan berkenaan ditolak kerana tidak sah. Bagi prosiding perceraian pula, Beego sendiri secara rela hati bersetuju menceraikan Linda dengan baik.

“Kedua-dua pihak juga sempat bermaaf-maafan selepas prosiding selesai,” katanya.

Muhammad Akmal berkata, hasrat untuk berpisah sebenarnya telah dipersetujui kedua-dua pihak sejak tahun lalu, namun proses itu tertangguh selepas Linda mengemukakan dakwaan berkaitan lafaz taklik yang perlu diputuskan mahkamah terlebih dahulu.

“Sejak awal lagi, kedua-dua pihak memang bersetuju untuk bercerai. Namun apabila isu lafaz taklik dibawa ke mahkamah, proses perceraian ditangguhkan sementara menunggu keputusan.

“Selepas keputusan hari ini, kedua-dua pihak meneruskan hasrat asal untuk menyelesaikan perceraian secara baik,” katanya.

Rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Sebelum ini, Beego dan Linda pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum kembali rujuk pada 9 April tahun sama.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button