HIBURAN

Zizi Kirana, Yusuf Bahrin sah bercerai talak satu

SHAH ALAM – Spekulasi mengenai kemelut rumah tangga pasangan selebriti Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin akhirnya terjawab apabila mereka disahkan bercerai talak satu secara raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Haiza yang mewakili Zizi Kirana, 41.

“Prosiding pada hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling adalah di bawah satu permohonan perceraian bawah Seksyen 47, pihak Zizi dan Yusuf, 34, bersetuju untuk permohonan cerai ini dilaksanakan.

“Prosiding permohonan cerai ini dijalankan di hadapan (Hakim Syarie) Muhammad Saifullah Hamzah dan direkodkan lafaz cerai terhadap Zizi talak satu secara raj’ie,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Menurut Haiza, prosiding berkenaan berjalan dengan baik dengan kerjasama kedua-dua pihak.

Sementara itu, Zizi ketika ditemui meluahkan rasa syukur apabila segala urusan selesai.

“Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Terima kasih semua,” katanya ringkas.

Terdahulu, kedua-dua mereka hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi menghadiri prosiding berkaitan rumah tangga mereka.

Sebelum ini, timbul dakwaan hubungan pasangan tersebut bergolak selepas mereka tidak berkongsi gambar bersama sempena 1 Syawal, baru-baru ini.

Untuk rekod, Yusuf dan Zizi Kirana mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan All Together Now Malaysia dan belum dikurniakan cahaya mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button