Along Cham, Afreena sah cerai talak satu
SEPANG – Pelawak dan pelakon, Along Cham sah bercerai talak satu dengan isterinya, Afreena Suhaimi selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini mengesahkan lafaz cerai yang berlaku pada tahun lalu.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi memutuskan demikian selepas berpuas hati berlaku lafaz talak dalam perkahwinan pasangan itu pada Jun 2024.
Dalam prosiding berkenaan, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizam Yaakob diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan, manakala Afreena diwakili peguam Mohamad Iezwan Ielias.
Terdahulu, Along memfailkan permohonan lafaz taklik pada Januari lalu dengan mendakwa isterinya melanggar tiga perkara termasuk tidak mematuhi arahan serta membelakangkan suami.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 April 2023 sebelum berlaku lafaz cerai di kediaman mereka di Cyberjaya pada Julai 2024.
Selepas prosiding, Along meluahkan rasa lega kerana kes yang berlarutan hampir setahun akhirnya selesai
“Alhamdulillah, saya lega kerana semuanya sudah berakhir. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan saya berharap kehidupan selepas ini lebih tenang,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Afreena ketika ditemui media turut mengakui sudah ‘move on’ sejak setahun lalu.
“Bagi saya, episod ini sudah lama berlalu. Saya hanya doakan yang terbaik buat Along sebagai bekas suami. Semoga kami masing-masing dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” ujarnya lagi.
Sebelum itu, Along pernah berkahwin dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaan Along.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








