BERITA SEMASA

Jenazah rakyat Malaysia maut ditikam di Korea Selatan tiba di KLIA

KUALA LUMPUR – Jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan membabitkan sekumpulan rakyat Malaysia di Korea Selatan, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Selayang, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan yang menyelaraskan urusan membawa pulang jenazah mengesahkan pesawat yang membawa Allahyarham telah selamat mendarat dan proses menuntut jenazah sedang dilakukan oleh ahli keluarga.

“Sebentar tadi kapal terbang baru sahaja mendarat dan kita sedang menunggu waris yang akan tiba untuk menuntut jenazah.

“Kita berharap proses membawa keluar jenazah berjalan lancar dengan izin-Nya,” katanya memetik laporan BH Online.

BACA JUGA:
Hasrat Ahmad Shah pulang perkenal isteri kepada keluarga tidak kesampaian
Rakyat Malaysia maut pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan

Menurut maklumat pengurusan jenazah yang dikongsikan keluarga, jenazah Allahyarham dijangka tiba di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang kira-kira pukul 7.30 malam sebelum disembahyangkan dan dikebumikan.

Ahmad Shah yang bekerja dalam sektor perkilangan di Korea Selatan sejak 2019, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian perut akibat ditikam.

Difahamkan, Allahyarham datang ke lokasi kejadian bersama isterinya selepas menerima panggilan daripada seorang rakan senegara yang meminta bantuan susulan tercetusnya pergaduhan membabitkan sekumpulan rakyat Malaysia.

Dalam kejadian pada malam Sabtu, 25 Julai lalu di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Allahyarham dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi keesokan harinya akibat kecederaan parah yang dialami.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button