BERITA SEMASA

Hasrat Ahmad Shah pulang perkenal isteri kepada keluarga tidak kesampaian

GOMBAK – Hasrat seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Korea Selatan untuk membawa pulang isterinya bertemu keluarga di tanah air tidak kesampaian apabila dia maut selepas ditikam ketika cuba meleraikan satu pergaduhan di negara itu, kelmarin.

Mangsa, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros sebelum ini merancang pulang ke Malaysia pada penghujung tahun ini bersama isterinya, Nurcahaya Ruslan, 30, yang dinikahinya pada April lalu di Korea Selatan.

Ibunya, Zulfah Fadliani, 47, berkata, arwah sering menyatakan hasrat untuk memperkenalkan isterinya kepada ahli keluarga selain mengadakan majlis doa selamat sebaik pulang ke tanah air.

“Dia selalu cakap nak bawa isteri jumpa kami dan adakan majlis doa selamat, tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam.

Menurut Zulfah, anak sulungnya itu dikenali sebagai seorang yang ringan tulang dan tidak pernah mengabaikan permintaan orang yang memerlukan bantuan.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, arwah bergegas ke lokasi kejadian selepas diminta membantu rakannya sebelum cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku.

“Apabila sampai, dia cuba leraikan pergaduhan, tetapi secara tiba-tiba seorang lelaki menikamnya sebelum melarikan diri,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, arwah mengalami kecederaan parah akibat ditikam beberapa kali termasuk di bahagian perut sehingga kehilangan banyak darah.

Tambahnya, berita duka itu diterima menerusi panggilan telefon daripada menantunya yang memaklumkan Ahmad disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan.

Allahyarham yang bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan sejak 2019 disifatkan sebagai anak yang bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kebajikan keluarga walaupun berada di perantauan.

“Dia sanggup bersusah payah demi keluarga. Dia selalu cakap mahu senangkan mama dan ayah. Kawan-kawan di sana pun sayangkan dia kerana suka membantu orang,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Ros Abidin meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan tanggapan bahawa anaknya terbabit dalam pergaduhan.

“Anak saya tidak suka bergaduh. Dia baik dan sentiasa membantu keluarga. Malah, dia pernah menghadiahkan saya sebuah kereta hasil titik peluhnya bekerja di sana,” katanya.

Beliau berkata, keluarga juga mempunyai perancangan untuk menunaikan ibadah umrah bersama pada penghujung tahun ini dengan menggunakan sebahagian simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun hasrat itu kini tidak kesampaian selepas pemergian Allahyarham.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button