SUKAN

Presiden Korea Selatan arah siasatan kegagalan kempen Piala Dunia 2026

SEOUL – Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kempen mengecewakan skuad bola sepak kebangsaan negara itu dalam Piala Dunia 2026 selepas pasukan itu tersingkir sebelum peringkat kalah mati.

Menurut laporan media tempatan, Lee berkata, siasatan terperinci perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kegagalan tersebut memandangkan perbelanjaan besar menggunakan dana pembayar cukai telah diperuntukkan bagi penyertaan pasukan itu dalam kejohanan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan menjalankan siasatan terhadap punca prestasi hambar itu, selain merangka reformasi menyeluruh terhadap pentadbiran sukan negara tersebut.

“Kita akan mempercepat reformasi pentadbiran sukan dengan pantas bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya lapor Reuters.

Lee turut menyatakan rasa bingung terhadap prestasi pasukan berkenaan serta mempersoalkan pemilihan Hong Myung-bo, bekas pertahanan skuad kebangsaan, sebagai ketua jurulatih.

Dalam hantaran di platform X, beliau menyifatkan penyingkiran awal itu sebagai “kegagalan organisasi dan kakitangan”, selain mengaitkannya dengan isu pemilihan kepimpinan.

“Apabila sikap pilih kasih dan kronisme diutamakan berbanding kecekapan dalam memilih seorang pengemudi, hasilnya boleh dijangka seperti api membakar kertas,” katanya.

Hong Myung-bo yang pernah menjadi kapten skuad Korea Selatan ketika mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 merupakan figura ikonik bola sepak negara itu, namun pelantikannya sebagai ketua jurulatih pada 2024 sejak awal menerima kontroversi.

Beliau sebelum ini pernah mengendalikan pasukan itu pada 2014, namun kempen berkenaan berakhir dengan kekecewaan apabila Korea Selatan gagal mencatat sebarang kemenangan dan tersingkir di peringkat kumpulan.

Pelantikan semula Hong mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan peminat yang mengkritik keputusan tersebut sebagai berat sebelah, selain mendakwa calon jurulatih asing yang melalui proses penilaian rapi telah diketepikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button