Final dua generasi, Messi buru rekod Yamal kejar sejarah
NEW JERSEY – Pentas final Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife bakal menjadi saksi pertembungan dua generasi bola sepak apabila Lionel Messi meneruskan pemburuan satu lagi pencapaian bersejarah, manakala Lamine Yamal berpeluang mengukir nama sebagai juara dunia pada usia remaja.
Aksi yang menemukan juara bertahan Argentina dan Sepanyol itu menyaksikan Messi dijangka muncul sebagai pemain luar tertua beraksi dalam perlawanan akhir Piala Dunia, sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai tonggak utama La Albiceleste dalam misi mempertahankan kejuaraan.
Di seberang padang pula, Yamal yang baru berusia 19 tahun berpeluang menyertai senarai elit pemain remaja yang pernah menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia.
Bintang sensasi Sepanyol itu mencipta perkembangan luar biasa apabila membuat penampilan sulung bersama Barcelona pada usia 15 tahun sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan ketika berusia 16 tahun.
Prestasinya terus menyerlah apabila membantu Sepanyol muncul juara Euro 2024, selain dipilih sebagai pemain muda terbaik kejohanan berkenaan.
Walau bagaimanapun, menjelang saingan Piala Dunia kali ini, Yamal mengakui pernah dihantui kebimbangan susulan kecederaan yang dialaminya sebelum kejohanan bermula.
Meskipun belum berada pada tahap kecergasan terbaik, pemain muda itu kekal menjadi pilihan utama Sepanyol dan dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Argentina.
Sekiranya beraksi, Yamal bakal muncul antara pemain termuda beraksi dalam final Piala Dunia, hanya di belakang legenda Brazil, Pele dan bekas pertahanan Itali, Giuseppe Bergomi.
Sehingga kini, hanya segelintir pemain remaja pernah menjulang trofi Piala Dunia, dengan Pele dan Kylian Mbappe menjadi antara pemain yang berjaya meledak gol di pentas final sebelum mencecah usia 20 tahun.
Dalam perkembangan sama, Messi menyifatkan Yamal sebagai ikon global pada usia yang masih muda, namun menegaskan Argentina akan melakukan segala-galanya untuk menyekat ancaman pemain sayap itu.
Final berkenaan turut mencuri perhatian peminat bola sepak dunia apabila Messi dan Yamal pernah dikaitkan menerusi sekeping gambar lama ketika bintang Argentina itu masih di awal kariernya, sekali gus menjadikan perlawanan tersebut simbol pertembungan dua era dalam sukan berkenaan.
Perlawanan akhir itu dijangka menentukan sama ada pengalaman Messi mampu membawa Argentina mempertahankan kejuaraan dunia atau kebangkitan Yamal bersama Sepanyol akan melakar sejarah baharu di pentas Piala Dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















