Final Piala Dunia 2026 catat rekod tiket termahal dalam sejarah sukan Amerika Syarikat
NEW YORK – Perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina mencipta rekod baharu apabila menjadi acara sukan paling mahal pernah diadakan di Amerika Syarikat (AS) dari segi harga tiket di pasaran jualan semula.
Menurut platform jualan tiket sekunder, TickPick, purata harga tiket bagi aksi final di Stadium MetLife itu mengatasi beberapa acara sukan berprestij lain termasuk Super Bowl dan Final NBA.
Setakat ini, tiket paling murah untuk menyaksikan perlawanan berkenaan dijual pada harga AS$6,943 (RM28,248), sedikit lebih rendah berbanding sekitar AS$7,200 (RM29,304) sebelum Argentina menewaskan England pada aksi separuh akhir.
Purata harga pembelian tiket pula mencecah AS$11,327 (RM46,101), sekali gus menjadi yang tertinggi pernah direkodkan bagi mana-mana acara sukan di AS.
Rekod pembelian tertinggi setakat ini membabitkan dua tiket di Seksyen 115A Stadium MetLife yang dijual pada harga AS$28,479 (RM115,909) setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah AS$56,958 (RM231,818).
Berdasarkan data TickPick, purata harga tiket final Piala Dunia 2026 turut mengatasi beberapa acara sukan terbesar di AS termasuk Super Bowl LVIII 2024 yang mencatat purata harga AS$9,411 (RM38,301), Super Bowl LV 2021 (AS$7,313), Super Bowl LIV 2020 (AS$6,546) serta aksi ketiga Final NBA 2026 antara New York Knicks dan San Antonio Spurs (AS$6,308).
Sementara itu, harga tiket bagi perlawanan penentuan tempat ketiga antara Perancis dan England jauh lebih rendah, dengan tiket paling murah dijual pada harga hampir AS$900 (RM3,663).
Harga tiket perlawanan itu turut menurun kira-kira AS$300 (RM1,221) selepas England gagal melangkah ke pentas final susulan tewas kepada Argentina.
Piala Dunia 2026 turut dianggap sebagai edisi paling mahal dalam sejarah kejohanan itu berdasarkan trend harga tiket sepanjang pertandingan.
Data SeatPick menunjukkan purata harga tiket ketika kejohanan bermula bulan lalu ialah AS$1,622 (RM6,601), sebelum meningkat mendadak kepada AS$4,162 (RM16,939) bagi aksi separuh akhir.
Bagaimanapun, tidak semua perlawanan menyaksikan kenaikan harga. Aksi suku akhir antara Sepanyol dan Belgium, misalnya, merekodkan penurunan hampir 60 peratus di pasaran jualan semula selepas Amerika Syarikat dan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo tersingkir daripada kejohanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








