SUKAN

Pengadil final Piala Dunia 2026 bersara

KUALA LUMPUR – Pengadil final Piala Dunia 2026, Slavko Vincic mengejutkan dunia bola sepak apabila mengumumkan persaraan daripada karier pengadilan hanya seminggu selepas kejohanan berprestij itu melabuhkan tirai.

Pengadil kelahiran Slovenia berusia 46 tahun itu membuat keputusan berkenaan selepas mengendalikan aksi final yang menyaksikan Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol menerusi jaringan masa tambahan.

Vincic menerima kritikan daripada beberapa pihak selepas didakwa membenarkan permainan fizikal Argentina sepanjang perlawanan berkenaan, sebelum melayangkan kad merah kepada pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez yang beraksi bersama Chelsea ketika masa kecederaan selepas tamat tempoh 90 minit.

Persatuan Bolasepak Slovenia dalam kenyataan rasmi memaklumkan Vincic menamatkan kerjaya pengadilannya selepas mencipta sejarah di pentas tertinggi dunia.

“Seminggu selepas final Piala Dunia di Amerika Syarikat, Slavko Vincic secara rasmi menamatkan kerjaya pengadil bersejarahnya di pentas tertinggi dunia,” katanya.

Baca juga : Slavko Vincic imbau memori pahit Argentina di Piala Dunia

Sepanjang kariernya, Vincic dianggap antara pengadil terbaik dunia apabila dinobatkan sebagai pengadil terbaik Piala Dunia oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) serta Persatuan Pengadil Itali (AIA).

Beliau turut menjadi anggota kumpulan elit pengadil Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sejak 2019, selain pernah mengendalikan saingan Euro 2020 dan aksi separuh akhir Euro 2024 antara Sepanyol dengan Itali.

Pada Piala Dunia 2026, Vincic mengendalikan empat perlawanan termasuk aksi pembukaan Kumpulan C antara Brazil dan Maghribi, selain perlawanan pusingan 16 terbaik yang menyaksikan Mexico menewaskan Ecuador 2-0.

Dalam aksi Mexico menentang Ecuador itu, Vincic turut melayangkan kad merah kepada pertahanan Arsenal dan Ecuador, Piero Hincapie.

Di pentas kelab, pengadil Slovenia itu memiliki pengalaman luas apabila diberi tanggungjawab mengendalikan final Liga Juara-Juara 2024 yang menyaksikan Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 2-0.

Beliau turut menjadi pengadil final Liga Europa 2022 antara Rangers dan Eintracht Frankfurt, selain mencipta sejarah apabila dipilih mengadili perlawanan Liga Super Turkiye membabitkan Galatasaray dan Fenerbahce kendalian Jose Mourinho pada 2025.

Pelantikan itu menjadikan Vincic pengadil asing pertama yang mengendalikan pertemuan antara dua gergasi bola sepak Turkiye berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button