Mexico arah penjawat awam kerja dari rumah sempena pembukaan Piala Dunia 2026
MEXICO CITY -Semua penjawat awam di Mexico City diarahkan bekerja dari rumah pada hari pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memastikan kelancaran pergerakan di ibu negara itu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata, dekri berkenaan telah diwartakan, selain menggesa sektor swasta melaksanakan pengaturan kerja fleksibel dan kerja jarak jauh bagi urusan pentadbiran yang tidak kritikal.
“Kami mahu memastikan tiada kesesakan lalu lintas dan tiada masalah pada hari pembukaan Piala Dunia,” katanya pada sidang media di sini, lapor Reuters.
Baca juga : Mexico kerah 100,000 anggota keselamatan menjelang Piala Dunia 2026
Penasihat Undang-Undang Presiden, Luisa María Alcalde berkata, semua agensi sektor awam akan beroperasi secara kerja jarak jauh, manakala sektor swasta serta sosial turut digalakkan mengambil langkah sama.
Beliau berkata, dekri itu turut melibatkan penggantungan sesi persekolahan di semua institusi pendidikan awam dan swasta di Mexico City, daripada peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Langkah itu diambil menjelang majlis pembukaan serta perlawanan pertama Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Azteca esok.
Mexico akan menjadi tuan rumah 13 perlawanan kejohanan berkenaan, termasuk lima perlawanan di Mexico City serta masing-masing empat di Guadalajara dan Monterrey.
Amerika Syarikat pula akan menganjurkan 78 perlawanan termasuk aksi final di New Jersey, manakala Kanada menjadi tuan rumah 13 perlawanan
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















