BERITA SEMASALUAR NEGARASUKAN

Impian Indonesia ke Piala Dunia berkecai, tewas 0-1 kepada Iraq

JEDDAH – Hasrat Indonesia untuk mara ke saingan Piala Dunia 2026 berkecai selepas tewas 0-1 kepada Iraq dalam perlawanan Kumpulan B pusingan keempat kelayakan Asia yang berlangsung di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Indonesia kekal di tangga tercorot Kumpulan B tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan, sekali gus menamatkan peluang mereka untuk terus bersaing.

Dalam aksi terdahulu, Indonesia tewas 2-3 kepada Arab Saudi, manakala Iraq kini berada di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata selepas mencatat kemenangan dalam aksi pertama mereka di pusingan ini.

Mengikut format kelayakan, hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di tempat kedua akan mara ke pusingan kelima.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain tengah Iraq, Zidane Iqbal pada minit ke-75 menerusi rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Indonesia.

Sebelum itu, skuad Garuda mempunyai beberapa peluang keemasan pada babak pertama namun gagal disempurnakan.

Iraq terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan selepas pertahanannya, Zaid Tahseen dilayangkan kad merah kedua, namun kelebihan itu tetap tidak mampu dimanfaatkan oleh Indonesia.

Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0, sekali gus mengesahkan kemenangan Iraq dan penyingkiran Indonesia daripada kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Susulan kekalahan itu, Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memohon maaf kepada rakyat Indonesia atas kegagalan pasukan kebangsaan menempah slot ke kejohanan berprestij berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button