Polisi kerajaan Indonesia kenakan cukai atas bantuan banjir dari luar negara dipertikai
JAKARTA – Polisi kerajaan Indonesia yang mengenakan cukai ke atas bantuan bencana dari luar negara untuk mangsa banjir di Sumatera menjadi perdebatan hebat dalam kalangan komuniti diaspora Indonesia di luar negara.
Menurut seorang anggota diaspora yang menetap di Singapura dan hanya mahu dikenali sebagai Fika berkata, sumbangan daripada luar negara dianggap sebagai barangan import dan akan dikenakan cukai sekiranya bencana tersebut belum diisytiharkan sebagai bencana nasional.
Menurut portal Tempo, polisi itu menerima kecaman ramai kerana dianggap tidak wajar memandangkan banjir terbaharu di Sumatera telah meragut 969 nyawa dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Fika menegaskan, pengenaan cukai sedemikian menyekat inisiatif diaspora yang menjadikan sumbangan wang sebagai kaedah utama bantuan.
Kedutaan Besar Indonesia di Singapura mengesahkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk memudahkan penghantaran bantuan atau mempengaruhi keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan status bencana nasional.
Duta Besar Suryo Pratomo menasihati diaspora supaya menyalurkan sumbangan melalui Palang Merah Indonesia atau organisasi sah lain.
Direktorat Jeneral Kastam pula masih belum memberi penjelasan terperinci mengenai pengenaan cukai terhadap bantuan yang dihantar, dan sedang menjalankan koordinasi dengan pihak berkenaan.
Sementara itu, Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi menegaskan, kerajaan mempunyai sumber mencukupi untuk menangani banjir tanpa bantuan asing.
Katanya, kerajaan memiliki stok makanan dan bahan api yang mencukupi, malah menggunakan kaedah luar biasa seperti penghantaran udara untuk sampai ke kawasan terpencil yang terjejas.
Prasetyo menekankan bahawa walaupun sokongan antarabangsa dihargai, Indonesia mampu menguruskan keadaan secara dalaman.
Polisi cukai itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan diaspora yang ingin membantu mangsa banjir tetapi kini terhad oleh peraturan dan cukai, menimbulkan kebimbangan tentang keberkesanan dan kelancaran penghantaran bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








