BERITA SEMASA

Banjir kilat: 26 mangsa dipindahkan, PPS dibuka di Manjoi

IPOH – Seramai 26 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini susulan banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, PPS berkenaan dibuka pada jam 5 petang hari ini selepas sebahagian mangsa tidak dapat kembali ke kediaman masing-masing.

“Saya dimaklumkan susulan kejadian banjir yang berlaku semalam, terdapat 26 orang mangsa daripada 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta memaklumkan dua kawasan terjejas ialah Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein.

Menurutnya, kejadian berpunca daripada hujan lebat melebihi 80 milimeter yang berterusan selama kira-kira dua jam setengah.

“Paras air di kawasan rumah yang terjejas telah surut sepenuhnya dan kerja pembersihan sedang dijalankan dengan bantuan penduduk setempat,” katanya lagi.

Tinjauan mendapati mangsa kini giat membersihkan kediaman masing-masing dengan sokongan agensi berkaitan dan sukarelawan.

Pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button