Indonesia potong lagi bajet program makanan percuma Prabowo
JAKARTA – Kerajaan Indonesia sekali lagi mengurangkan peruntukan bagi Program Makanan Bergizi Gratis (MBG) iaitu inisiatif utama Presiden Prabowo Subianto, susulan usaha memperkemaskan pelaksanaan program berkenaan yang sebelum ini berdepan pelbagai kontroversi.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, peruntukan program itu dikurangkan daripada 268 trilion rupiah (RM69.2 bilion) kepada 229 trilion rupiah (RM59.2 bilion), manakala kerajaan tidak menolak kemungkinan pengurangan lanjut selepas semakan pengurusan selesai.

Menurut Antara News, pada asalnya, kerajaan Indonesia memperuntukkan 335 trilion rupiah (RM86.5 bilion) bagi program tersebut dalam Belanjawan 2026 dengan sasaran memberi manfaat kepada 83 juta penerima, termasuk pelajar sekolah dan wanita hamil.
Bagaimanapun, langkah penjimatan fiskal serta penilaian semula pelaksanaan menyebabkan peruntukan itu dikurangkan secara berperingkat.
Sementara itu, Badan Gizi Nasional (BGN) berkata, pengurangan bajet akan menyebabkan jumlah penerima dan bilangan dapur penyedia makanan dikurangkan.
“Bagaimanapun, tumpuan kini diberikan kepada peningkatan kualiti makanan, aspek keselamatan serta kecekapan pengurusan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan berulang,” katanya.
Setakat ini, program tersebut telah memberi manfaat kepada kira-kira 62.5 juta penerima iaitu masih di bawah sasaran asal.
Portal berita Indonesia turut melaporkan bahawa kerajaan sedang melakukan penstrukturan semula pelaksanaan program MBG dengan memberi penekanan terhadap tadbir urus yang lebih telus, kecekapan pengagihan serta penggunaan peruntukan secara lebih bersasar selepas timbul kritikan terhadap kos pelaksanaannya yang tinggi.
Program makanan percuma yang dilancarkan pada Januari 2025 itu merupakan antara janji pilihan raya paling penting dan paling mahal Presiden Prabowo.
Namun, pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah logistik, kebimbangan terhadap nilai pemakanan, beberapa insiden keracunan makanan di sekolah serta dakwaan rasuah dalam pengurusan program.
Malah, kemelut itu turut menyaksikan pertukaran kepimpinan di BGN apabila Prabowo melantik Sudaryono sebagai ketua baharu agensi tersebut selepas dua pertukaran dalam tempoh dua bulan.
Beliau diberi mandat memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap program berkenaan.
Program MBG sebelum ini menjadi antara dasar paling mendapat perhatian di Indonesia kerana dianggap mampu menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, namun pada masa sama turut mencetuskan perdebatan mengenai beban kewangan kerajaan dan keutamaan perbelanjaan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















