Penduduk protes buang satu trak sampah depan Pejabat Ketua Daerah
PANDEGLANG – Ratusan penduduk dari beberapa kampung di Daerah Koroncong, Kabupaten Pandeglang, Banten bertindak menumpahkan satu trak sampah di hadapan Pejabat Ketua Daerah di sini sebagai tanda protes terhadap pengurusan sisa buangan yang didakwa gagal ditangani pihak berkuasa.
Tindakan itu dilakukan selepas tiada wakil pejabat hadir menemui mereka ketika mengadakan demonstrasi pada Rabu lalu, lapor Antara News.
Penduduk mendakwa kerjasama antara Pemerintah Kabupaten Pandeglang dengan Pemerintah Kota Tangerang Selatan (Tangsel) hanya membebankan mereka apabila timbunan sampah semakin meningkat sehingga menimbulkan pencemaran bau, air serta masalah lalat.
“Setiap hari kami terpaksa menanggung bau busuk dari timbunan sampah ini.
“Jika pemerintah terus mengabaikan, bukan satu trak sahaja akan kami bawa, malah lebih banyak lagi,” kata Ahmad Yani mewakili penduduk Kampung Bangkonol.
Mereka turut menegaskan masalah tersebut memerlukan kajian mendalam seperti Analisis Mengenai Dampak Lingkungan (Amdal) penuh, bukannya hanya laporan ringkas Upaya Pengelolaan dan Pemantauan Lingkungan (UKL-UPL) sebagaimana didakwa pihak pemerintah kerana belum mencapai 1000 tan sampah.
Selain itu, penduduk kecewa kerana pihak berkuasa tidak memastikan lori pengangkut sampah mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menyebabkan pencemaran semakin parah.
Protes itu merupakan kali keempat dilakukan dan penduduk memberi amaran tindakan mereka akan menjadi lebih besar sekiranya tuntutan termasuk menghentikan kerjasama dengan Tangsel, terus diabaikan.
“Jika pemerintah terus mengabaikan kami, ‘September Gelap’ pasti tiba,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








