BERITA SEMASALUAR NEGARA

Jam tangan mewah Ahmad Sahroni dicuri ketika rusuhan dipulangkan semula

JAKARTA – Jam tangan mewah jenama Richard Mille milik anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR RI), Ahmad Sahroni, yang dilaporkan dicuri ketika rusuhan di kediamannya di Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Sabtu lalu, akhirnya dipulangkan semula.

Menurut Ketua Persatuan Kejiranan Kampung Kebon Bawang, Sugeng aksesori bernilai sekitar Rp11.7 bilion (anggaran RM3 juta) itu diserahkan ibu bapa suspek kepada wakil Sahroni, kelmarin.

“Sudah dikembalikan. Persatuan kejiranan hanya menjadi saksi. Ibu bapanya sendiri yang menyerahkan kepada Pak Sahroni melalui wakilnya, Pak Imanuddin,” katanya.

Tambahnya, pemulangan dilakukan selepas ibu bapa pelaku tampil membuat laporan kepada pihak kejiranan.

“Pelaku berasal dari Kebon Bawang. Saya hubungi ketua setempat dan bertemu dengan ibu bapanya. Saya lihat jam itu ada bersama mereka dan kami bawa ke pejabat kampung untuk proses penyerahan kepada wakil (Sahroni),” jelasnya.

Kediaman Sahroni diserbu sekumpulan individu dalam kejadian rusuhan pada Sabtu lalu, susulan kenyataan kontroversinya mengenai kenaikan elaun anggota DPR yang mencetuskan kemarahan masyarakat.

Pada 22 Ogos lalu, ketika lawatan kerja ke Sumatera Utara, Sahroni menyifatkan desakan untuk membubarkan DPR sebagai tidak masuk akal.

“Mentaliti manusia itu adalah mentaliti orang paling bodoh di dunia. Ambil perhatian, sesiapa yang hanya mengatakan bubarkan DPR adalah orang paling bodoh di dunia,” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan reaksi negatif dan dipercayai menjadi punca serangan ke atas kediamannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button