Gempa kuat 7.4 magnitud gegar Laut Maluku, amaran tsunami dikeluarkan
JAKARTA – Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 yang melanda Laut Maluku awal pagi ini, mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara Asia Tenggara, termasuk kawasan pantai berdekatan.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada pukul 6.48 pagi waktu tempatan pada kedalaman 35 kilometer (km), kira-kira 120km dari Pulau Ternate di Maluku Utara.
Difahamkan, gegaran itu turut diikuti beberapa gempa susulan dengan magnitud mencecah lima, manakala pihak berkuasa Indonesia segera mengeluarkan amaran tsunami melibatkan wilayah Maluku Utara dan Sulawesi Utara.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan besar dilaporkan, memetik laporan agensi berita antarabangsa.
Dalam pada itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan, gelombang tsunami berbahaya berpotensi berlaku dalam lingkungan 1,000 kilometer dari pusat gempa, melibatkan kawasan pantai Indonesia, Filipina dan Malaysia.
“Gelombang setinggi antara 0.3 meter (m) hingga 1m melebihi paras air pasang boleh melanda beberapa kawasan pantai Indonesia,” katanya.
Pusat itu turut memberi amaran kemungkinan gelombang kurang daripada 0.3m bagi kawasan pantai Guam, Jepun, Malaysia, Papua New Guinea, Filipina dan Taiwan.
Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun memberitahu, negara itu mungkin mengalami gelombang setinggi 0.2m, namun tiada kerosakan besar dijangka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








