SUKAN

Trump dijadual sampaikan trofi juara pada aksi final Piala Dunia 2026

LOS ANGELES – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijadual menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai depan.

Beliau akan bersama Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menyampaikan trofi kepada pasukan yang muncul juara.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Infantino dalam satu wawancara yang disiarkan semalam, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai penglibatan Trump pada kemuncak kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

“Kami akan bersama presiden menyaksikan perlawanan akhir dan sudah tentu menyampaikan trofi kepada pasukan juara bersama-sama,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.

Piala Dunia 2026 merupakan edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 pasukan, selain dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Hubungan rapat antara Infantino dan Trump bukan sesuatu yang baharu.

Kedua-duanya kerap dilihat bersama dalam beberapa acara rasmi FIFA, termasuk ketika majlis undian Piala Dunia 2026 di Washington tahun lalu serta beberapa siri perbincangan berkaitan persiapan Amerika Syarikat sebagai tuan rumah.

Keputusan untuk Trump turut terlibat dalam penyampaian trofi dipercayai dibuat selepas insiden yang mencuri perhatian dunia ketika final Piala Dunia Kelab FIFA tahun lalu.

Pada majlis tersebut, Trump menyerahkan trofi kepada kapten Chelsea, Reece James selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu menewaskan Paris Saint-Germain (PSG).

Namun, beliau kekal berada di atas pentas ketika pemain Chelsea meraikan kejuaraan, menyebabkan wajahnya turut menghiasi detik sambutan kemenangan pasukan itu.

Rakaman berkenaan tular di media sosial apabila beberapa pemain Chelsea dilihat sedikit terkejut dengan kehadiran Trump di tengah-tengah sesi meraikan kejuaraan.

Final Piala Dunia 2026 dijangka berlangsung di hadapan lebih 80,000 penyokong di Stadium MetLife, New Jersey yang turut dipilih sebagai venue perlawanan akhir selepas menjadi lokasi beberapa aksi penting sepanjang kejohanan.

Acara itu dijangka dihadiri pemimpin dunia, tokoh sukan dan selebriti antarabangsa, sekali gus menjadi antara acara sukan paling mendapat perhatian global tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button