Yasser Al-Misehal umum letak jawatan Presiden bola sepak Arab Saudi
RIYADH – Yasser Al-Misehal melepaskan jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi selepas Green Falcons menamatkan kempen Piala Dunia 2026 seawal peringkat kumpulan.
Dalam satu kenyataan semalam, Al-Misehal menyifatkan kegagalan pasukan kebangsaan mara ke pusingan seterusnya Piala Dunia adalah keputusan yang jauh daripada segala harapan pihaknya.
“Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini dan memohon maaf kepada semua yang berharap melihat pasukan kita berada di kedudukan yang lebih baik.
“Rasa tanggungjawab menuntut agar peluang diberikan untuk membuka lembaran baharu. Oleh itu, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan tugas sehingga tamat penggal semasa,” katanya dalam kenyataan di X semalam.
Sepanjang menerajui persekutuan itu selama tujuh tahun, Al-Misehal memainkan peranan penting dalam kejayaan Arab Saudi memperoleh hak penganjuran Piala Dunia 2034, yang menjadi antara tonggak utama strategi negara tersebut untuk mempelbagaikan ekonominya yang selama ini banyak bergantung kepada hasil minyak.
Di pentas Piala Dunia 2026, Arab Saudi menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan H dengan mengumpul dua mata hasil dua keputusan seri menentang Uruguay dan Cape Verde, selain tewas besar 0-4 kepada Sepanyol.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















