MKRS tembusi pasaran Arab Saudi, meterai kerjasama strategik dengan Sinyar
KUALA LUMPUR – Langkah MKRS Group of Companies (MKRS) melebarkan sayap ke Arab Saudi menerusi kerjasama strategik dengan Sinyar Saudi Industrial Investment Company (Sinyar) dijangka membuka peluang baharu kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran Timur Tengah yang semakin berkembang pesat.
Pengerusi MKRS Group, Datuk Dr Saravanan Karrupayah berkata, kejayaan tersebut mencerminkan perjalanan syarikat yang telah berkembang pesat sepanjang 35 tahun sejak ditubuhkan pada 1990.
Menurut beliau, MKRS yang bermula sebagai sebuah perusahaan kecil kini muncul sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Salah satu faktor utama yang menyokong perkembangan ini ialah pengenalan System Scaffolding Solution pertama buatan Malaysia yang telah membuktikan keberkesanannya dalam projek mega seperti Pembangunan Bersepadu Pengerang (RAPID) serta pelbagai kemudahan minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik & Pengembangan Perniagaan Malaysia-Arab Saudi 2026 di ibu negara semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Dr Gunaraj George, dan Pengasas serta Pengerusi Sinyar Saudi Industrial Investment Company, Arab Saudi, Fahad Almishal.
Pemeteraian kerjasama strategik berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri, pemindahan teknologi dan pengembangan perniagaan rentas sempadan antara Malaysia dan Arab Saudi.
Selain itu, ia turut menyokong agenda Visi Saudi 2045 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, peningkatan keupayaan teknologi serta pengukuhan jaringan perdagangan antarabangsa.
Mengulas lanjut, Dr Saravanan berkata, menerusi kerjasama itu, MKRS dan Sinyar komited memindahkan teknologi serta kepakaran kejuruteraan tempatan ke Arab Saudi bagi membangunkan ekosistem pengeluaran dan rantaian bekalan yang mampan.
Katanya, langkah tersebut selari dengan agenda penyetempatan industri yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi.
Selain aspek teknologi, kerjasama berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi penyediaan laluan yang lebih tersusun untuk membawa bakat mahir Malaysia ke projek-projek antarabangsa.

Sehingga kini, MKRS telah berjaya melatih dan mengiktiraf lebih 32,000 tenaga kerja teknikal menerusi pelbagai program pembangunan kompetensi.
Usaha pengembangan strategik syarikat itu turut mendapat sokongan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia) melalui kemudahan pembiayaan eksport dan fasilitasi perniagaan antarabangsa.
Dr Saravanan menambah, kerjasama yang terjalin bukan sekadar perkongsian komersial, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan kepakaran teknikal Malaysia dengan peluang transformasi ekonomi yang sedang berkembang pesat di Arab Saudi.
Sementara itu, Fahad Almishal berkata, Malaysia memiliki kelebihan tersendiri dalam bidang inovasi pembuatan dan perkhidmatan industri yang mampu menyumbang kepada penciptaan nilai ekonomi jangka panjang.
Katanya, kekuatan tersebut menjadikan Malaysia rakan strategik yang penting dalam usaha membangunkan sektor perindustrian yang lebih mampan dan berdaya saing.
Dalam pada itu, kerjasama antara kedua-dua syarikat itu akan memberi tumpuan kepada enam sektor utama termasuk minyak dan gas, perkapalan serta penerbangan, yang dijangka terus memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








