BERITA SEMASA

JOMhotel.com perkasa transformasi industri perhotelan tempatan

KUALA LUMPUR – Platform tempahan hotel tempatan, JOMhotel.com, muncul sebagai inisiatif baharu yang berpotensi mentransformasikan industri perhotelan negara dengan menawarkan tempahan penginapan pada hari sama secara mudah dan pantas.

Pengarah JOMhotel.com, Anthony Kong, berkata, platform tersebut menumpukan kepada tempahan penginapan pada hari sama dengan pelaksanaan polisi tanpa bayaran balik, bayaran segera kepada hotel, serta struktur harga berperingkat antara RM49 hingga RM299.

“Model ini membolehkan hotel menukar inventori tidak terjual kepada pendapatan sebenar, sementara pelanggan menikmati kadar lebih berbaloi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, JOMhotel.com ditubuhkan pada tahun 2025 di bawah naungan Bamboo Hospitality Travel Sdn Bhd dan diasaskan oleh sekumpulan Pengurus Besar hotel, pakar dalam talian (OTA) dan pembangun teknologi berpengalaman luas dalam industri hospitaliti.

Platform tersebut berfungsi menghubungkan hotel yang mempunyai lebihan bilik tidak terjual dengan pengembara yang mencari penginapan saat akhir melalui sistem efisien dan mesra pengguna.

Selain menambah pendapatan pengusaha hotel, platform itu turut memperkenalkan pendekatan berasaskan analisis data dan pemahaman tingkah laku pengguna bagi mengurangkan pembaziran operasi dan menggalakkan pertumbuhan mampan jangka panjang.

Terdahulu, majlis ‘Hotel Partners Get-Together Night’ anjuran JOMhotel.com di Societe Suites Hartamas baru-baru ini menghimpunkan pengusaha hotel, pemain industri dan rakan perniagaan bagi memperkukuh kerjasama serta membincangkan hala tuju sektor perhotelan yang lebih mampan.

Pada majlis berkenaan, JOMhotel.com turut memperkenalkan beberapa ciri digital baharu seperti pemasaran berasaskan data dan strategi carian berfokus tinggi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi bagi membantu hotel meningkatkan kecekapan operasi dan kadar penginapan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kejayaan platform itu bergantung kepada kepercayaan dan kerjasama erat dengan rakan hotel.

“Kejayaan kami bergantung kepada kekuatan kolaborasi dan kepercayaan antara kami serta rakan hotel. Majlis ini menandakan permulaan perjalanan bersama berpaksikan inovasi dan komitmen memperkasa industri perhotelan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, JOMhotel.com merancang memperluas kerjasama strategik dengan lebih banyak hotel, penganjur acara serta perniagaan pelancongan di seluruh negara.

“Dengan pasukan berpengalaman dan visi jelas, JOMhotel.com berhasrat mentakrif semula konsep penginapan saat akhir di Malaysia serta menjadi pelengkap penting dalam pembangunan ekosistem pelancongan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button