BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

RichWorks raih pengiktirafan MBOR terajui program bimbingan usahawan terbesar Malaysia

SHAH ALAM – RichWorks Group Holdings Berhad (RichWorks) memperkukuh kedudukan syarikat sebagai antara pemain utama pembangunan usahawan di Malaysia selepas secara rasmi menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Largest MSMEs Entrepreneurship Mentoring Program.

Pengiktirafan berkenaan diberikan hasil kejayaan RichWorks membimbing seramai 4,305 usahawan jutawan menerusi pelbagai program latihan, mentoring dan pembangunan bisnes yang dijalankan sepanjang tempoh operasinya.

Pengasas dan Presiden RichWorks, Datuk Azizan Osman berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian organisasi, sebaliknya mencerminkan kejayaan ribuan usahawan yang berani berubah demi masa depan lebih baik.

“Ramai usahawan sebenarnya mempunyai potensi besar, namun mereka perlukan panduan yang jelas, sistem yang betul dan sokongan komuniti untuk berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian pengiktirafan MBOR yang berlangsung di RichQ yang turut dihadiri usahawan, rakan strategik serta tetamu jemputan, di sini, baru-baru ini.

richworks
Sebahagian usahawan yang dibimbing RichWorks meraikan pengiktirafan MBOR selepas komuniti itu berjaya mencatat jualan keseluruhan RM15.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menurut Azizan , kekuatan ekosistem bimbingan yang dibangunkan RichWorks telah melahirkan impak besar apabila komuniti usahawan berkenaan merekodkan jualan keseluruhan RM15.1 bilion dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Bagi tahun 2025 sahaja, jumlah jualan mencecah RM3.3 bilion, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Pencapaian itu turut membuktikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mampu menjadi pemacu utama ekonomi negara sekiranya diberi bimbingan, strategi dan ilmu yang tepat.

Dalam majlis sama, RichWorks turut melancarkan program baharu Potensi Diri Wang & Bisnes yang boleh diakses secara percuma melalui laman web potensidiri.com, dengan pendekatan virtual bagi membolehkan penyertaan lebih meluas di seluruh negara.

Program itu dibangunkan bagi membantu individu yang berdepan tekanan kos sara hidup, kekurangan pendapatan serta mereka yang ingin memulakan atau memperbaiki perniagaan tetapi tidak tahu arah yang jelas.

Selain itu, Azizan turut berkongsi realiti cabaran semasa usahawan termasuk peningkatan kos operasi, persaingan harga, kebergantungan kepada platform digital serta tekanan margin keuntungan akibat caj dan komisen.

Beliau berkata, persaingan produk luar negara turut memberi cabaran kepada peniaga tempatan untuk terus berdaya saing dalam pasaran yang semakin sengit.

“Walaupun begitu, RichWorks percaya peluang sentiasa terbuka bagi mereka yang bersedia berubah, belajar dan menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran semasa,” katanya.

Dalam pada itu, selepas melahirkan ribuan usahawan berjaya, RichWorks kini menyasarkan untuk membantu lebih ramai mencapai jualan RM10 juta setahun, dengan ratusan usahawan dalam komuniti mereka sudah pun mencapai tahap tersebut.

Pengiktirafan MBOR ini sekali gus menjadi bukti bahawa dengan ilmu, disiplin dan bimbingan yang betul, usahawan tempatan mampu melangkah jauh dan memberi impak bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button