BISNES & EKONOMI

Mydin cipta sejarah jadi rangkaian peruncit, pemborong tempatan pertama lancar aplikasi e-dompet

SUBANG JAYA – Mydin Mohamed Holdings Berhad, (MYDIN) mencipta sejarah apabila menjadi rangkaian peruncit dan pemborong tempatan yang pertama melancarkan aplikasi e-dompet yang diberi nama ‘MYDINPay’.

Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, pihaknya komited dalam memastikan orang ramai mendapat pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan dengan inovasi perniagaan yang memberi kemudahan kepada mereka.

“Kami sudah berada di persada perniagaan lebih dari enam dekad, justeru itu kami perlu terus menyesuaikan perniagaan mengikut perubahan semasa kerana keperluan pelanggan sentiasa berubah-ubah.

“Integrasi penyelesaian fintech canggih ini bertujuan untuk menjadi penanda aras baru untuk kemudahan runcit dan penglibatan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran aplikasi e-dompet MYDINPay yang telah disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Mydin cawangan Subang Jaya hari ini.

Bersempena dengan pelancaran ini, Mydin menawarkan baucar RM5 bagi 1,000 pengguna aplikasi yang terawal.

Selain itu, 3,000 pelanggan pertama yang membelanjakan RM150 ke atas dengan aplikasi MYDINPay di mana-mana cawangan Mydin layak menikmati pulangan tunai sebanyak 5 peratus.

Mengulas lanjut, Ameer berkata, pembangunan aplikasi ‘MYDINPay’ direalisasikan melalui kerjasama Mydin dengan Wavpay pada Oktober tahun lalu.

“Kerjasama ini memperkenalkan Mydin sebagai Rakan Dompet Omnichannel pertama, merupakan program yang memanfaatkan infrastruktur e-dompet yang mantap daripada Wavpay.

“Inisiatif ini membolehkan rakan kongsi mencipta aplikasi mereka sendiri dengan ciri e-dompet bagi memudahkan transaksi digital dan meningkatkan penglibatan dengan pengguna sasaran mereka,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button