Kolaborasi artistik warnai koleksi raya 2026 Bayu Somerset
SHAH ALAM — Jenama fesyen bercorak moden, Bayu Somerset terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri tempatan apabila melancarkan koleksi Raya 2026 bertemakan #somerSYOKraya26, serentak dengan pembukaan cawangan baharu di Central i-City, di sini.
Koleksi Raya tahun ini tampil lebih segar dengan mengetengahkan 50 corak unik, merangkumi lebih lima siluet baharu, tujuh set keluarga serta tujuh rekaan mewah yang menekankan gabungan gaya perayaan dan keselesaan pemakaian harian.
Meneruskan identiti jenama yang menggabungkan seni dan fesyen, Bayu Somerset turut memperkenalkan tiga kolaborasi istimewa bersama Arif Rafhan, Bunga dan Bintang serta Machino, masing-masing menampilkan sentuhan artistik tersendiri tanpa mengetepikan DNA jenama itu.
Kolaborasi bersama Arif Rafhan memfokuskan elemen batik klasik yang diolah semula dengan sentuhan estetik berani serta palet warna ceria, sekali gus memberi nafas moden kepada busana tradisional Raya.
Sementara itu, Bunga dan Bintang pula mengetengahkan rekaan berunsurkan florals lembut berona pastel yang memberikan sentuhan feminin dan manis dalam rangkaian koleksi berkenaan.
Bagi kolaborasi bersama Machino, Bayu Somerset menampilkan gabungan bunga Hana ikonik jenama itu dengan rekaan batik khas, menggunakan palet warna hangat berinspirasikan musim luruh yang mudah dikenali sebagai identiti Bayu Somerset.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul, berkata kolaborasi tersebut bertujuan menawarkan pilihan gaya yang lebih holistik kepada pelanggan sempena musim perayaan.
“Untuk koleksi Raya, kami mahu memberi pilihan lengkap kepada pelanggan supaya mereka boleh bergaya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Sebab itu kami bekerjasama dengan Machino untuk memperkenalkan kasut dan juga tudung dengan rekaan yang berwarna-warni dan sesuai digayakan ketika Raya,” katanya.
Menurut beliau, kolaborasi Bayu Somerset bersama Machino merangkumi empat rekaan kasut dan empat rekaan skarf segi empat, menjadikan keseluruhan lapan produk ditawarkan bagi kolaborasi tersebut dengan jumlah terhad sekitar 4,000 unit.
Tambahnya, harga bagi kolaborasi kasut dan tudung Machino bermula pada RM188, namun masih mengekalkan konsep mampu milik kerana Bayu Somerset menyasarkan pasaran massa, dengan harga keseluruhan koleksi Raya bermula serendah RM99 hingga RM200.
“Walaupun ada yang menganggap kolaborasi ini berada dalam kategori premium, sebenarnya harga koleksi Raya kami ada yang lebih tinggi. Apa yang kami lihat, pengguna sanggup berbelanja lebih ketika musim perayaan dan kami mahu memberikan lebih banyak pilihan kepada mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, keseluruhan koleksi Raya 2026 melibatkan lebih 80 variasi rekaan pakaian, selain tiga kolaborasi utama yang diperkenalkan khusus untuk musim perayaan tahun ini.
Koleksi Raya #somerSYOKraya26 ditawarkan dalam saiz XXS hingga 5XL dengan harga bermula RM99 dan boleh didapati di semua outlet Bayu Somerset di seluruh negara termasuk outlet baharu di Central i-City serta secara dalam talian di www.bayusomerset.com.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















