BISNES & EKONOMI

Golden Land Berhad, Maple Hospitality Group jalin kerjasama strategik, perkasa penginapan jangka pendek di Sabah

KOTA KINABALU – Sabah bakal menjadi lokasi eksklusif pertama jenama penginapan butik jangka pendek, MapleSuites di Malaysia Timur menerusi kerjasama strategik antara Golden Land Berhad (GLB) dan Maple Hospitality Group (MHG) dalam pembangunan mercu tanda baharu, The Playground @ Kota Kinabalu.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak, The Playground @ Kota Kinabalu akan menjadi satu-satunya projek di Sabah yang beroperasi di bawah jenama MapleSuites, sekali gus menawarkan gabungan konsep kediaman moden, penginapan jangka pendek, pengalaman gaya hidup dan nilai pelaburan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif GLB, Stewart Yap berkata, kerjasama tersebut merupakan pencapaian penting yang menggabungkan visi pembangunan aspirasi GLB dengan kepakaran MHG dalam pengurusan penginapan jangka pendek.

Menurut beliau, ia turut mewujudkan ekosistem penginapan jangka pendek bersepadu di Kota Kinabalu selain meningkatkan cadangan nilai jangka panjang aset milik GLB di Sabah.

Katanya, The Playground @ Kota Kinabalu dibangunkan khusus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penginapan bandar jangka pendek menerusi gabungan elemen gaya hidup, penginapan dan pengalaman berteraskan komuniti.

“Projek ini mencerminkan strategi pengembangan lebih luas GLB di Sabah yang didorong oleh peningkatan permintaan pelancongan, pertumbuhan perjalanan perniagaan dan minat pelabur yang semakin meningkat terhadap penginapan servis.

“The Playground @ Kota Kinabalu mencerminkan aspirasi kami untuk mewujudkan pembangunan yang melangkaui hartanah konvensional dengan mengintegrasikan budaya, gaya hidup, penginapan jangka pendek dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Melalui kerjasama dengan pengendali penginapan jangka pendek yang kukuh seperti MHG, kami dapat meningkatkan cadangan nilai jangka panjang aset kami di Sabah sambil mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia Timur,” katanya sempena majlis pemeteraian MoU strategik antara GLB dan MHG di sini hari ini.

golden land berhad
Kerjasama menandakan pencapaian penting bagi kedua-dua syarikat, yang menggabungkan visi pembangunan aspirasi Golden Land Berhad dengan kepakaran pengurusan penginapan jangka pendek Maple Hospitality Group.

Sementara itu, Pengasas Bersama MHG, Danny Hor berkata, kerjasama berkenaan membolehkan kedua-dua pihak menawarkan pengalaman penginapan jangka pendek yang lebih baik kepada pelanggan selain mencipta nilai jangka panjang kepada pemilik hartanah dan industri pelancongan.

“Kerjasama itu mencerminkan visi bersama GLB dan MHG untuk mempertingkatkan landskap hartanah dan penginapan jangka pendek Sabah menerusi pembangunan yang dirancang secara teliti serta mempunyai daya tarikan gaya hidup dan pelaburan yang kukuh,” katanya.

Ditubuhkan di Sabah pada tahun 1982, GLB memulakan operasi dalam industri pembalakan menerusi Tanah Emas Telupid Sdn. Bhd. sebelum mempelbagaikan perniagaan ke sektor perladangan pada 1986.

Syarikat itu kemudiannya disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada 1996 sebagai Tanah Emas Corporation Berhad sebelum dinaik taraf ke Papan Utama pada 2009 di bawah nama Golden Land Berhad.

Pada 2016, GLB memasuki sektor pembangunan hartanah menerusi pelancaran Midtown Plaza Sandakan dan kini berkembang sebagai pemaju pelbagai sektor dengan portfolio kediaman, komersial serta industri ringan di seluruh negara.

Antara projek yang berada dalam portfolio syarikat termasuk Golden Gateway di Pulau Pinang, D’Sini Residences di Setia Alam, Taman Lavender Residences di Bentong serta The Playground @ Kota Kinabalu.

golden land berhad
The Playground @ Kota Kinabalu direka sebagai pembangunan suite komersial yang menggabungkan elemen gaya hidup, penginapan jangka pendek dan pengalaman berteraskan komuniti.

Dalam masa sama, GLB turut memberi tumpuan strategik kepada Sabah menerusi beberapa perancangan pembangunan baharu termasuk projek industri ringan di Putatan dan pembangunan kediaman di Likas.

MHG pula diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai “Rangkaian Syarikat Pengurusan Penginapan Jangka Pendek Terbesar” di negara ini dengan lebih 3,000 bilik diuruskan di destinasi pelancongan dan perniagaan utama seluruh Malaysia.

Kumpulan itu juga telah mengendalikan lebih sejuta tempahan tetamu dengan sokongan lebih 200,000 ulasan tetamu yang disahkan.

MHG menguruskan tiga jenama penginapan iaitu MapleHome, MapleSuites dan MapleReserve yang memenuhi pelbagai segmen pasaran daripada penginapan mampu milik sehingga pengalaman mewah.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, MapleSuites akan membuat penampilan sulung di Sabah secara eksklusif menerusi The Playground @ Kota Kinabalu.

Jenama penginapan butik jangka pendek itu disasarkan kepada pengembara moden yang mencari pengalaman penginapan bergaya, lancar dan mudah dengan keselesaan bertaraf premium.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button