BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

MoU RM20 juta pacu usahawan MARA tembusi pasaran China

CHENGDU – Tiga usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatat pencapaian membanggakan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan pengedar dari China, dengan potensi jualan keseluruhan hampir RM20 juta.

mara
KKMY Retail Sdn. Bhd. memeterai MoU untuk memperluas pemasaran snek premium ke pasaran China.

Menurut MARA, Syarikat KKMY Retail Sdn. Bhd. memeterai MoU strategik dengan Intimimo (Guangzhou) Co. Ltd di pavilion Malaysia untuk memasarkan produk snek premium mereka ke lebih 1,000 cawangan di seluruh China dalam tempoh lima tahun, sekali gus menjana potensi jualan sehingga RM15 juta.

Selain itu, Nutrivera Manufacturing Sdn. Bhd. menjalin kerjasama dengan Sichuan Maintech Digital Technology Co., Ltd. bagi pengedaran bar berasaskan serbuk koko dan herba.

“Syarikat berstatus halal dan dipersijilkan HACCP serta NPRA itu katanya, mensasarkan penembusan pasaran China dalam tempoh tiga tahun dengan potensi jualan dianggarkan RM3.2 juta,” katanya dalam kenyataan.

MoU tersebut disempurnakan sempena The 114th China Food & Drinks Fair (CFDF) 2026 dan disaksikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhamad Akmal Abdul Wahab.

mara
Langkah ke pasaran global: Tiga syarikat bimbingan MARA menjalin kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh eksport produk halal Malaysia ke China.

Dalam perkembangan sama, BS Global Manufacturing (M) Sdn. Bhd. turut memeterai MoU dengan pengedar yang sama untuk memasarkan produk pracampur minuman termasuk minuman protein dan coklat bermalta, dengan jangkaan potensi jualan sekitar RM1.8 juta dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, MARA menekankan ketiga-tiga syarikat berkenaan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna global terhadap produk keluaran Malaysia.

“Penyertaan MARA dalam CFDF 2026 juga dilihat sebagai platform strategik bagi pembangunan agenda usahawan Bumiputera berorientasikan eksport.

“Selain itu usaha ini juga mampu memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa, khususnya di China yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk halal dan berkualiti,” tambah MARA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button